Thursday, April 29, 2010

UniKL,SSBJ JANJI SAINGAN SENGIT

Pertemuan UniKL, SSBJ janji saingan sengit hoki remaja

KUALA LUMPUR - Saingan hujung minggu ini akan menjadi penentu buat dua pencabar gelaran juara Divisyen Satu Liga Hoki Remaja MHF-Milo-NSC.

Pendahulu liga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan penyandang juara, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) akan bertemu sesama sendiri, Ahad ini.

Pertembungan tersebut seakan menjadi penentu kepada kedua-dua pasukan untuk memiliki kelebihan awal untuk menjuarai kejohanan hoki remaja.

Jika pertemuan itu sekadar berakhir dengan keputusan seri, ia akan menghancurkan harapan kedua-duanya untuk meraih kejuaraan kerana kelebihan pastinya akan berpihak kepada Sekolah Sukan Bandar Penawar, SSBP-Thunderbolt.

UniKL dan SSBJ pastinya akan memberi aksi terbaik pada hujung minggu ini, selain masing-masing berusaha mencatat kemenangan.

UniKL masih mempunyai baki satu perlawanan untuk diteruskan dan pasukan itu juga ketika ini bermain lebih satu perlawanan berbanding SSBJ.

Pasukan tersebut merupakan pendahulu liga dengan mengumpul 15 mata daripada lima perlawanan.

Sementara itu, dua sekolah sukan, SSBJ dan SSBP-Thunderbolt masing-masing mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan.

Tiga pasukan teratas di Divisyen Satu tersebut berada dalam keadaan selesa untuk mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan.

Hanya dengan satu lagi kemenangan pada hujung minggu ini, ia pasti akan meletakkan pasukan tersebut dalam kelompok lapan pasukan terakhir.

Jurulatih SSBJ, S. Prakash berkata, saingan hujung minggu ini adalah sangat penting dan kemenangan adalah perkara utama.

"Kami (SSBJ) juga akan berhadapan satu lagi perlawanan penting iaitu menentang MBPJ, esok (hari ini).

"Mereka (MBPJ) pastinya mahu melakukan kebangkitan setelah tumpas dalam tiga perlawanan terdahulu.

"Oleh itu, saya tidak hanya ingin memastikan pasukan ini mampu mengekalkan tahap permainan baik, tetapi melakukan satu langkah ke hadapan pada pertemuan ini.

"MBPJ akan menjadi ujian besar kepada kami bagi mengekalkan rentak kemenangan dan terus mengumpul mata untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik.

"Jika kami berjaya melepasi MBPJ dengan baik, UniKL adalah ujian getir yang seterusnya bagi merangkul kejuaraan," kata Prakash.