Saturday, April 24, 2010

ELEMEN "ABANG-ADIK" SEKAT UNIKL?

ELEMEN bantuan 'abang adik' dijangka menyukarkan laluan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjelang pertembungan dengan empat sekolah sukan dalam aksi Divisyen Satu Liga Hoki Remaja (JHLM) bermula dengan pasukan remaja Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), hari ini.

Lantas, tekad meraih tiga mata penuh menjadi sasaran utama pasukan tangga kedua itu kerana menyedari jumlah jaringan pasti disekat skuad adik itu dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur (SHKL), petang ini.


“Saya jangka Remaja (SSBJ) akan bertahan dan mengurangkan jaringan untuk `abang’ mereka (SSBJ),” kata pengendali UniKL, I Vikneswaran. Tanpa aksi dua seteru utama, Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP)-Thunderbolt yang juga pendahulu liga dengan lebihan tiga jaringan selepas mengumpul 25 gol dan SSBJ - di tangga ketiga dengan 15 gol - dilihat memudahkan UniKL kembali merampas pendahulu liga.

Namun, Viknewaran lebih menekankan supaya anak buahnya tidak leka ketika mengakui empat pasukan sekolah sukan yang berpengalaman lebih lima tahun dalam kejohanan itu mampu menggugat kedudukan mereka.

UniKL dijangka turun tanpa pemain tengah, N Ugentheran yang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan cedera di hidungnya, Isnin lalu.