Sunday, April 18, 2010

Jurulatih mahu pemain UniKL kekal fokus

From: http://www.bharian.com.my/

Oleh Hasnira Hassan

JANGAN lupa daratan. Itu tegas jurulatih pasukan yang namanya melonjak naik di pentas Liga Hoki Remaja (JHL), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), I Vikneswaran terhadap anak buahnya yang dikhuatiri hanyut dengan kejayaan awal diraih mereka. Lantas, beliau mengingatkan mereka untuk kekal fokus pada saingan yang bakal ditempuhi dan tidak memandang mudah lawan sekalipun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berada di kedudukan terbawah carta.
Apa lagi, ketika mereka bakal melangkah ke Stadium Hoki Kuala Lumpur (SHKL) petang ini tanpa sebarang maklumat aksi lawan.
“Kami tiada pengalaman MBPJ dan kami juga tidak berkesempatan melihat aksi mereka,” kata Vikneswaran. “Kami menghormati keupayaan mereka yang punya sejarah tersendiri dalam JHL dan dibarisi pemain berwibawa.”
UniKL yang beraksi sulung musim ini membuat kejutan apabila membelasah pasukan pilihan, Anderson 6-1 pada saingan keempat di SHKL, kelmarin, untuk mendahului Divisyen Satu dengan kelebihan jaringan dan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.
Anderson yang berkongsi sembilan mata dengan lebih satu perlawanan, mengekori di tangga kedua manakala Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Thunderbolt di tangga ketiga hasil perbezaan gol, berkongsi enam mata dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).